1  8 January , 2008
2
1  5 December , 2007
2
1  19 February , 2007
2
1  February , 2007
2
 
News & Highlights

Maxis labur RM1 bilion untuk capai liputan penuh

Berita Harian , 3 Sep 2004

MAXIS Communications Bhd (Maxis) akan melabur kira-kira RM1 bilion dalam tempoh dua tahun akan datang untuk mencapai tahap liputan penuh seluruh negara bagi perkhidmatan telekomunikasi bergeraknya.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Jamaludin Ibrahim, berkata langkah itu sejajar dengan komitmen syarikat untuk mematuhi arahan kerajaan yang mahukan pengendali perkhidmatan telekomunikasi bergerak tempatan meluaskan kawasan liputan perkhidmatan telekomunikasi bergerak masing-masing ke seluruh negara, termasuk di kawasan terpencil.

Beliau berkata, sebahagian besar pelaburan itu akan digunakan bagi
mengambil alih dan menyewa tapak pemancar, pembinaan infrastruktur teknikal dan pembelian peralatan.

"Maxis kini sudah mencapai tahap liputan 82 peratus di seluruh negara dengan liputan Maxis di Putrajaya dan Cyberjaya sudah mencapai tahap 99 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Multimedia dan Komunikasi Asean 2004 (ACM 2004) dan Anugerah Kecemerlangan ICT 2004 (AKICT 2004) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Mines, di Sri Kembangan semalam.

ACM 2004 dan AKICT 2004 itu diadakan sempena Minggu ICT Malaysia 2004 (MICTW 2004) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Jamaluddin berkata, Maxis juga memperuntukkan antara RM200 juta dan RM300 juta tahun ini bagi menjayakan program Pemberian Perkhidmatan Universal (USP).

USP ialah program yang bertujuan meluaskan penggunaan perkhidmatan komunikasi dan aplikasi di seluruh negara dengan tumpuan utama kepada capaian bagi telefon talian tetap dan internet.

Matlamatnya ialah untuk merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan di luar bandar.

Mengenai perkhidmatan sistem komunikasi tanpa wayar generasi ketiga (3G), beliau berkata Maxis membelanjakan kira-kira RM220 juta tahun ini bagi meningkatkan capaian 3G.

"Kami mensasarkan 300 kawasan akan dapat menerima perkhidmatan itu menjelang akhir tahun ini," katanya.

Sementara itu, pemenang AKICT 2004 ialah Profesor Dr Tengku Mohd Tengku Sembok bagi kategori Guru ICT Cemerlang; Toh Kok Liang dari Universiti Multimedia (Pelajar ICT Cemerlang); Dr Molley Cheah (Anugerah Perisian Sumber Terbuka Terbaik); Pejabat Pos Kuala Krai, Kelantan (Juara Komuniti Setempat ICT); Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist Kuala Lumpur (Laman Web Sekolah Terbaik); dan I-Navigate Sdn Bhd (Aplikasi Mudahalih Paling Kreatif).

Pemenang anugerah Pusat Internet Desa (PID) Terbaik pula ialah PID Simpang Empat, Perlis yang menduduki tempat pertama, PID Tanjung Malim Perak (kedua) dan PID Kuala Krai, Kelantan (ketiga).

Sekolah Kebangsaan Daha di Serian, Sarawak menggondol anugerah Cyberkids Camp Terbaik.

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor menyampaikan hadiah kepada pemenang anugerah bagi mewakili menterinya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.